Pengurus inap desa dibebas daripada tuduhan penyalahgunaan dadah

BEBAS: Peguam Azhier Farhan Arisin bersama Mohd Azizan yang dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri atas pertuduhan penyalahgunaan dadah hari ini.

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu memerintahkan seorang pengurus inap desa, Mohd Azizan Saidi, 41, yang berasal dari Ranau, dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri atas pertuduhan penyalahgunaan dadah hari ini.

Dalam keputusan yang disampaikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Egusra Ali, beliau memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen-elemen kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Seksyen 39C(1) membawa penalti berat iaitu hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan sebatan tidak lebih daripada tiga kali. 

Hakim menegaskan bahawa bukti yang dikemukakan tidak mencukupi untuk menyabitkan tertuduh sekaligus pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh. 

Alasan ringkas penghakiman itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Marlina Ibrahim.

Pihak pendakwaan juga memanggil empat saksi untuk menyokong kes mereka. Namun, semasa perbicaraan, peguambela Mohd Azhier Farhan Arisin berhujah bahawa spesimen air kencing yang dikatakan mengandungi methamphetamine dan amphetamine dikacau ganggu dan tidak dikemukakan sebagai bukti yang sah di mahkamah. 

Hujahnya lagi, pihak pendakwaan mengemukakan keterangan saksi yang bercanggah di antara satu sama lain tentang tatacara pengambilan specimen air kencing sekaligus menimbulkan keraguan terhadap kesahihan keterangan saksi-saksi pendakwaan.

Azizan, yang berada dalam tahanan reman sejak 23 Januari 2021, ditangkap di sebuah rumah inap desa di Kampung Kilimu, Ranau, sementara menunggu perbicaraan selesai. 

Timbalan Pendakwa Raya Suriyati Jumain mewakili pihak pendakwaan dalam kes ini.