Lelaki warga asing terlepas hukuman gantung

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah jenis syabu di sebuah apartment di Manggatal, dua tahun lepas.

Pillah Hajirul, 26, didapati tidak bersalah atas tuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh Hakim Mahkamah Tinggi Leonard Shim selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

"Selepas memberikan penilaian maksimum ke atas semua keterangan yang dikemukakan pada akhir kes pendakwaan, mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan tidak mengemukakan keterangan yang boleh dipercayai bagi membuktikan setiap elemen kesalahan pengedaran mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Berdasarkan alasan tersebut, mahkamah mendapati kes prima facie tidak dibuktikan terhadap tertuduh. Dalam keadaan itu, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa memanggil pembelaannya. Semua ekshibit fizikal hendaklah dikembalikan kepada pihak pendakwaan selepas tamat tempoh rayuan," katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Pillah didakwa mengedar dadah jenis syabu dengan berat bersih 53.3 gram di sebuah apartment di Jalan Sulaman Menggatal Kira-kira pukul 12.00 tengah hari 17 Mei 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan selain sebanyak 30 eksibit dikemukakan sepanjang perbicaraan bermula pada 19 September 2022.

Pillah ketika ditemui bersama peguamnya diluar perkarangan Mahkamah menarik lafas lega dengan keputusan tersebut dan berterima kasih kepada peguamnya.

“Ini adalah hadiah Aidilfitri yang paling bermakna daripada peguam kepada saya dan keluarga,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ali Imran dan Nurfaezah Jafry manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Azhier Farhan Arisin dan dibantu oleh Syarulnizam Salleh Said Keruak.