Lelaki bebas tuduhan cabul adik ipar

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan mampu menarik nafas lega, apabila Mahkamah Majistret di sini kelmarin, membebaskannya atas pertuduhan mencabul adik iparnya.

Majistret Jessica Ombou Kakayun membebaskan dan melepaskan tertuduh yang berusia 21 tahun yang mana didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Keputusan itu dilakukan selepas kes berkenaan berakhir di peringkat akhir pendakwaan dan mendapati, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah mencabul mangsa yang berusia lapan tahun, pada 6 Februari tahun ini jam 7 pagi, di sebuah rumah kampung di Penampang.

Hukuman yang diperuntukkan, penjara maksimum sepuluh tahun atau dengan denda, atau sebat atau dua daripadanya.

Sepanjang perbicaraan, lima saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberikan keterangan.

Mahkamah juga mengarahkan ikat jamin dikembalikan kepada tertuduh yang diwakili peguam Azhier Farhan Arisin.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki juga dibebaskan oleh mahkamah atas dua pertuduhan menipu melibatkan pengurusan pendakian Gunung Kinabalu.

Mahkamah membuat keputusan itu terhadap Putera Shareez Sharian, 26, selepas diberitahu para pengadu dalam kes terbabit sudah menarik balik laporan ke atas tertuduh.

Pertama, tertuduh didakwa menipu Charlos Terry Sapak, 29, untuk menguruskan pendakian lapan pendaki, ke Gunung Kinabalu, yang sebenarnya tidak diuruskannya.

Hal ini mendorong mangsa menyerahkan wang secara berperingkat melalui deposit wang ke dalam akaun Maybank milik tertuduh sebanyak RM2,380.

Kesalahan itu dilakukan pada 1 hingga 2 September tahun lalu di Maybank Karamunsing, di sini.

Kedua, Putera Shareez sekali lagi memperdayakan Lorraine Lawrence, 28, untuk menguruskan pendakian 16 pendaki ke Gunung Kinabalu, yang mana tidak diuruskan.

Akibat percaya, mangsa menyerahkan wang secara berperingkat sebanyak RM4,160 melalui akaun tertuduh, pada 5 Ogos hingga 26 September tahun lalu di Taman Golden City, Lorong Kukang, di sini.

Sekiranya disabitkan bersalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan penjara minimum setahun dan maksimum sepuluh tahun dan dengan sebat, atau denda.