KOPEKS menang tuntutan RM6.5 Juta berkaitan pembatalan perjanjian jual beli tanah
KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah (KOPEKS) telah berjaya memperoleh keputusan yang memihak kepadanya di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu dalam kes tuntutan pemulangan wang berjumlah RM6,495,288.26.
Tuntutan itu difailkan pada tahun 2021 susulan pembatalan Perjanjian Jual Beli Bersyarat (CSPA) antara KOPEKS dan pihak penjual, iaitu Roslan Yahya, Pauziah Abd Ghani, dan Zaiton Maidin.
Perjanjian itu melibatkan penjualan empat bidang tanah di Putatan, Sabah.
Perbicaraan kes berkenaan tamat pada Jun 2024. Sepanjang perbicaraan, pihak Defendan telah mengemukakan beberapa permohonan yang ditolak oleh mahkamah, iaitu tuntutan balas terhadap KOPEKS, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), dan Pengarah SKM Sabah, Datuk Kastian Dula.
Tuntutan balas itu telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Februari 2023, membenarkan perbicaraan diteruskan pada Jun 2024.
Permohonan untuk meminda tuntutan balas, yang telah ditolak pada 5 April 2024.
Permohonan supaya kes diputuskan secara ringkas berdasarkan isu undang-undang, yang turut ditolak pada 5 April 2024.
Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Dr Lim Hock Leng telah menyampaikan penghakiman yang memihak kepada KOPEKS dan Mahkamah telah menganugerahkan KOPEKS jumlah RM6,495,288.26, bersama kadar faedah lima peratus dari tarikh penghakiman, serta kos sebanyak RM20,000.
KOPEKS diwakili oleh peguam Jeyan Marimuttu, Mohd Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar, dan Vanessa J Marimuttu manakala pihak Defendan pula diwakili Datuk Lawrence Thien dan Valarie Lim.
DR SAAT
Dalam pada itu Pengerusi KOPEKS, Dr Haji Saat Haji Ag Damit dalam kenyataan merakamkan ucapan terima kasih pasukan guaman serta semua ahli KOPEKS dan pihak-pihak yang telah memberi sokongan penuh sepanjang proses itu.
"Kami di KOPEKS akan terus komited untuk melindungi hak dan kepentingan semua anggota dan memastikan koperasi ini terus berkembang demi manfaat bersama, " katanya.
Saat turut memaklumkan KOPEKS pada tahun ini dijadualkan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pada 27 November ini yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.